Salam.
Hari ini, cuma dua eksperimen saja yang saya jalankan. Entah kenapa semangat untuk menghabiskan eksperimen bahagian ultrasonic ini seolah-olah hilang ditiup angin. Mungkin kerana penat yang tidak hilang-hilang. Mungkin kerana bebanan perasaan yang kembali menyapa hati di saat-saat kritikal, bila mana saya terlalu perlukan rasionalnya sebuah minda.
Namun beberapa hari ini, pulang saya ke bilik tidak lagi kosong. Pulang saya membawa rasa rindu pada si kecil yang saya bawa bersama dari kampung. Si kecil yang saya ambil kerana kasihan melihat dia yang selalu terpaksa beralah pada adik-beradiknya yang lain bila saja disua sayur-sayuran. Si kecil yang berjaya membuatkan hati saya disapa keinginan untuk menjaganya walaupun di saat itu hati dan minda masih tidak senada dan seirama. Masih tetap mengingati. Masih juga terselit sedikit rasa walaupun sudah puas dirasionalkan dengan pelbagai alasan.
Si kecil putih ini, yang saya fikir menjadi pengubat untuk hati saya sekarang sudah sedikit gemuk berbanding beberapa hari yang lalu. Jika diikutkan, seekor arnab pasti sudah tidak tahan berlama-lama di dalam bakul tanpa dapat bergerak bebas seperti yang selalu ia dapatkan ketika duduk bersama-sama adik-beradiknya yang lain. Tapi si kecil ini, seolah-olah sangat mengerti keadaan saya. Walaupun saya mahu menjaganya, namun di waktu-waktu sekarang, lebih banyak masa yang terpaksa digunakan untuk menyiapkan fyp.
Di setiap pagi, sebelum saya bergerak ke lab, akan saya pesan padanya supaya jangan nakal-nakal semasa saya tiada. Jangan melompat-lompat keluar dari bakul. Duduk diam-diam, tunggu hingga saya pulang dari lab nanti. Itu pesan saya pada dia sambil membelai-belai kepalanya. Dan ia sangat patuh pada pesanan saya. Kecuali jika makanannya telah habis atau ketika ia mahu minum tapi air dalam bekasnya sudah tumpah.
Pernah sekali, sewaktu ingin membersihkan bakulnya, sengaja saya lepaskan ia bebas di dalam bilik dengan pintu terbuka. Sangatlah sukanya si kecil ini, kerana akhirnya dapat bermain-main di luar bakul kecilnya itu. Dari tengah bilik ia melompat-lompat ke bawah meja. Kemudian datang kembali ke tengah ke arah saya. Seolah-olah mengajak saya untuk bermain sama dengannya. Dan ketika saya sedang sibuk meletakkan suratkhabar sebagai lapik di dalam bakulnya, ia mula menuju ke pintu bilik. Melompat-lompat keluar.
" Eh, jangan keluar dari bilik. Mai sini, masuk-masuk. Sayang, masuk bilik. Jangan main kat luar tu,"
Dan dengan terkedek-kedek ia masuk semula ke dalam bilik selepas mendengar suara saya membebel.
Saya sekadar tersengih melihat telatahnya. Entah ia faham. Entah tidak. Tapi Mak pernah beritahu saya satu perkara yang saya mulai rasakan kebenarannya.
Satu ketika, perut saya terasa sangatlah sakit. Kebiasaan yang selalu dihadapi kaum hawa setiap bulan. Saya adukan pada Mak. Pada fikiran saya, sudah pastilah akan disuruh untuk menyapukan minyak panas pada bahagian yang sakit itu. Atau paling-paling tidak pun, botol mineral yang berisi air panas berbalut tuala kecil akan digolek-golekkan pada bahagian perut yang sakit seperti orang bertungku.
Tapi kali ini, petua Mak berbunyi lain sekali. Kata Mak, cakap pada perut, jangan sakit-sakit sangat. Pesan baik-baik. Saya sekadar memandang sambil tersenyum simpul mendengarnya. Mungkin melihatkan saya yang seperti tidak percaya pada kata-katanya, Mak mulai menyambung kembali bicaranya.
"Segala benda hidup kat dunia ini kan makhluk Allah. Walaupun anggota dan tubuh badan kita ini. Setiap benda yang Tuhan jadikan itu sebenarnya boleh mendengar. Walaupun darah yang mengalir dalam saraf kita ini. Jika ia tidak mendengar, pasti ia tidak akan dapat mengalir dengan baik mengikut arahan yang telah Allah berikan pada ia. Jadi, cakap elok-elok pada perut. Pesan supaya rasa sakit tu berkurang."
Dan syukur, selepas mengikut petua Mak. Sakit saya mulai berkurang. Dan saat ini, saya praktikkan pesan Mak itu pada si kecil ini. Saban malam sebelum tidur, akan saya dodoikan ia sebentar sambil bercakap-cakap dengannya. Walaupun ia tidak dapat membalas kata-kata saya, tapi matanya memandang saya seolah-olah ia faham apa yang saya katakan padanya.
Perasaan menjaga anak arnab ini, membuatkan saya terfikir. Mungkin beginilah agaknya perasaan seorang ibu bila telah mempunyai anak. Tambah-tambah bila cuti bersalin telah habis, dan terpaksa meninggalkan si anak yang masih bayi di bawah penjagaan orang lain. Tak sabar menanti tibanya petang, supaya dapat pulang dan bertemu si anak kecil. Dan sewaktu membuat kerja, teringat-ingat pula pada anak yang ditinggalkan.
Mungkin saya akan berfikir beberapa kali untuk meneruskan kerjaya bila sudah punya anak nanti. Tak sanggup lah nak biarkan anak dijaga oleh orang lain.
With Love,
iNz
wah, si comel B..
ReplyDeletewalaupon dah agak comot, tp die ttp comel!!
xpe, skang at least bley blaja cr2 nk jg anak kan..
smoga mudah hendakNya..
:D
ReplyDeletetapi tak sabar tunggu nasi minyak zeti ni...
-xOX0-