Sunday, February 24, 2013

Rambling I

Dalam hidup ini, kita tak akan pernah terjangka apa kejutan yang bakal diterima. Acapkali kita menginginkan sesuatu yang berada di dalam jangkaan. Agar mudah kita menyusun langkah mengatur haluan bila dihidang ujian dan mehnah hidup.

Tapi tidak.

Benar kata orang, selagi kita tak melepasi puzzle pertama ujian Tuhan, usah bermimpi untuk naik ke pentas seterusnya.

Hari ini, saya belajar erti realiti. Bagaimana cuba menerapkan idealisasi diri ke dalam realiti kehidupan. Belajar bagaimana untuk tawakkal yang diisi pasrah dan redha.

Halus didikanNya buat diri.

Bagaimana untuk kembali melihat sisi indah dan baik disebalik pahit sebuah kebenaran hidup.  Belajar untuk tidak menghakimi dan mengadili seseorang hanya kerana saat ini dia masih belum menemui siratul mustaqim.

Belajar bagaimana untuk melonggarkan tali harapan pada manusia dan meletakkan sepenuh pengharapan hanya pada Dia.

Belajar untuk mengasihi seadanya seikhlas hati. Paling berat. paling mencabar. kerana hakikat sifat manusia mengharapkan dan menginginkan rasa memiliki. hak mutlak.

Sedangkan yang mutlak hanyalah milik Dia.

Saat jiwa berbagi rasa, hati mulai mengerti erti rindu. Sengaja Dia uji hati hingga rapuh berkecai agar hati itu kembali lunak untuk merintih padaNya.

Dan semalam saya terpaku melihat matanya berkaca. Ya, untuk pertama kalinya saya yakin dia tidak berbohong erti rasa.

No comments:

Post a Comment